Rawatan dan tips bagaimana mencegah Bronkiolitis

Jika bayi atau anak anda menghidap bronkiolitis dan keadaannya tidak teruk, biasanya doktor akan menyarankan anda untuk melakukan rawatan di rumah sahaja. Contoh-contoh cara rawatan di rumah untuk keadaan ini adalah:

  • Rehatkan anak anda secukupnya dan beri minum secukupnya (termasuk pemberian susu badan atau susu formula) untuk mencegah dehidrasi.
  • Pasangkan pelembab udara untuk memastikan bilik anak anda berasa selesa.
  • Hindari anak anda daripada terdedah kepada asap rokok.
  • Jika demamnya masih belum reda, berikan ubat seperti ibuprofen dan paracetamol mengikut dos yang disarankan oleh doktor. Dapatkan nasihat doktor mengenai jenis ubat dan dos yang sesuai dengan anak anda.
  • Berikan ubat titis seperti saline iaitu larutan yang mengandungi garam untuk membersihkan hidung anak yang tersumbat.

Bagi kes bronkiolitis yang teruk dengan gejala seperti sesak nafas, maka segeralah bawa ke hospital untuk rawatan seterusnya. Ingat, bronkiolitis bukan hanya selesema biasa. Ia boleh menjadi teruk sekiranya dibiarkan terutamanya bagi bayi yang masih kecil. Antara cara rawatan di hospital termasuklah:

  • Elakkan gangguan pada pesakit kecuali prosedur yang penting
  • Terapi oksigen jika pernafasan sangat susah atau pesakit nampak letih atau bibirnya biru. Oksigen mesti dilembapkan dengan alat pelembap dan boleh diberi melalui kotak kepala (headbox) atau prong hidung (nasal hidung)
  • Jika pesakit tidak boleh atau tidak mahu menyusu, drip intravena diperlukan
  • Antibiotik mungkin dimulakan jika tanda-tanda yang pesakit ada pneumonia dan bronkiolitis akut pada masa yang sama
  • Jika terdapat banyak bunyi wheeze, ubat “bronchodilator” seperti salbutamol (ventolin) atau ipratropium (atrovent) boleh diberi dengan menggunakan nebuliser
  • Jika terdapat pulse oximeter dalam wad, alat ini boleh digunakan untuk monitor keadaan pesakit dan berapa banyak oksigen diperlukan.
  • Rawatan ventilasi di unit rawatan rapi diperlukan jika pesakit mengalami kegagalan respiratori

Baca tips untuk tingkatkan sistem imun kanak-kanak.

Perbezaan diagnosis bronkiolitis dengan penyakit respiratori yang lain

a) Asma
– Biasanya pesakit ada sejarah serangan lelah atau wheeze yang berulang
– Dalam auskultasi bunyi wheeze lebih dari “crackles”

(b) Pneumonia (radang paru-paru)
– Pesakit pneumonia biasanya ada suhu demam yang lebih tinggi daripada 38C
– Kebanyakannya tiada bunyi wheeze atau hiperinflasi paru-paru
– Dalam auskultasi “crepitations” lebih didengar dan kadang-kala “crepitations” ini adalah fokal, iaitu didengar pada satu bahagian paru-paru sahaja

(c) Kegagalan jantung
– Bunyi “murmur” jantung mungkin didengar dalam auskultasi
– Hati dapat dirasa oleh sebab hati sebenarnya membesar dan bukan ditekan ke bawah

Prognosis Bronkiolitis

Kebanyakan pesakit bronkiolitis akut sembuh tanpa masalah. Sebilangan kecil pesakit iaitu 1% memerlukan rawatan ventilasi. Adalah dijangka 40-50% pesakit bronkiolitis akut mendapat serangan wheeze yang berulang pada masa depan mereka seakan-akan penyakit asma.

Bagaimana cara untuk mengurangkan risiko jangkitan pada anak anda?

Virus yang menyebabkan bronkiolitis adalah mudah merebak. Oleh itu, adalah mustahil untuk mengelakkan perkara ini daripada tidak menjangkiti anak anda. Namun begitu terdapat beberapa langkah mudah untuk mengurangkan risiko anak anda mendapat bronkiolitis. Jika anak anda sudah mempunyai bronkiolitis, maka langkah-langkah ini boleh membantu mencegah jangkitan merebak.

  • Basuh tangan anda dengan sabun dan air – terutama sebelum anda menyentuh bayi. Pastikan anak-anak yang lain dan pelawat juga membasuh tangan mereka.
  • Tutup hidung dan mulut anak anda apabila mereka batuk atau bersin
  • Cuba untuk menjauhkan diri daripada kanak-kanak dan orang dewasa lain yang menunjukkan tanda-tanda batuk atau selesema.
  • Cuci atau lap mainan dengan kerap untuk mengelakkan penyebaran kuman
  • [PENTING] Pastikan bayi anda dijauhkan daripada asap rokok. Jangan sekali-kali membenarkan sesiapa sahaja untuk merokok di sekitar bayi anda.

Dalam beberapa kes, bayi yang mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat bronkiolitis yang teruk diberi imunisasi untuk membantu melindungi mereka daripada jangkitan RSV. Pakar kanak-kanak atau Neonatologi anda akan memberikan maklumat dan nasihat lanjut jika anak anda berisiko tinggi.

(Visited 93 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge