Demam pada Bayi baru lahir: Apa perkara yang mungkin ibu bapa tidak tahu?

Pernahkah anda mengalami situasi bila anda menyentuh badan bayi anda yang baru lahir, rasa seperti suhu badan dia sedikit hangat. Lalu kita segera mengambil termometer untuk menyukat suhu badan dia dan bacaan dia sekitar 37.9 darjah celcius. Sebagai ibu bapa, tentu saja kita akan cepat risau dan kadang-kadang merasa panik bila anak-anak kecil kita demam lebih-lebih lagi demam pada bayi yang baru lahir.

Demam pada bayi merupakan reaksi biasa yang menunjukkan bahawa badan mereka berupaya melawan penyakit dan sebagai tanda berfungsinya sistem kekebalan tubuh bayi. Walau bagaimanapun, anda perlu berwaspada apabila bayi yang baru saja lahir mengalami demam ketika usianya masih di bawah tiga bulan. Jika keadaan ini dibiarkan, ia boleh membahayakan kesihatan bayi. Perkara pertama untuk menangani keadaan ini adalah dengan segera membawa bayi anda untuk berjumpa doktor bagi membuat pemeriksaan keadaan bayi anda.

Usia bayi baru lahir yang saya maksudkan di sini adalah bayi yang berumur di bawah 28 hari sejak masa kelahirannya. Pada saat ini, bayi mudah terdedah terhadap serangan pelbagai penyakit dan memerlukan penjagaan serta pemberian air susu ibu secara berterusan. Ini kerana pemberian susu ibu kepada bayi yang baru lahir dapat meningkatkan sistem kekebalan badan bayi anda. Baca bagaimana untuk memperbanyakkan susu ibu di sini.

Bagaimana mengetahui demam pada bayi yang baru lahir?

Seorang bayi yang baru lahir dikatakan mengalami demam apabila suhu badannya mencapai 38 darjah Celsius. Cara terbaik untuk mengetahui suhu badan bayi adalah dengan menggunakan termometer rektum iaitu alat penyukat suhu yang dimasukkan ke dalam rektum/dubur bayi anda. Ramai ibu bapa yang risau untuk menggunakan alat ini kerana bimbang sesuatu yang buruk berlaku ke atas bayi mereka. Namun begitu, termometer rektum adalah satu-satunya alat yang memberikan bacaan yang tepat bagi menyukat suhu badan bayi yang berusia 3 tahun ke bawah. Elakkan mengukur suhu bayi ketika baru sahaja dimandikan. Gunakan termometer digital untuk mendapatkan bacaan yang lebih tepat. Elakkan penggunaan termometer yang mengandungi bahan merkuri kerana ia boleh menyebabkan keracunan jika pecah.

Selain itu, ibu juga boleh menyentuh dahi bayi bagi mengetahui sama ada bayi mengalami demam atau tidak. Walaubagaimanapun, kadang-kadang dahi yang panas tidak selalunya menunjukkan bahawa bayi itu mengalami demam.

Awasi tanda-tanda demam pada bayi baru lahir yang berusia di bawah 3 bulan.

Setiap ibu bapa perlu tahu bahawa demam pada bayi yang berusia di bawah tiga bulan mungkin merupakan gejala dari beberapa penyakit yang serius. Bagi mengelakkan keadaan ini atau agar keadaan ini tidak semakin parah, ibu bapa perlu segera membuat pemeriksaan ke atas bayi anda.
Antara perkara yang perlu dilakukan ketika bayi baru lahir dijangkiti demam adalah:

  • Jika bayi anda yang berusia di bawah tiga bulan mengalami demam panas, segeralah hubungi doktor anda untuk mendapatkan nasihat perubatan atau terus bawa bayi anda ke unit kecemasan di hospital terdekat.
  • Jangan memberikan ubat demam (kecuali atas nasihat doktor) kerana perkara ini boleh mengganggu gejala penyakit bayi dan akan menyukarkan pemeriksaan selanjutnya.

Terdapat dua sebab kenapa bayi baru lahir yang mengalami demam panas harus segera dibawa ke hospital iaitu:

  • Lapisan sel pelindung antara aliran darah dan sistem saraf pusat bayi berusia di bawah tiga bulan masih sangat nipis dan ini boleh menyebabkan jangkitan bakteria mudah menembusi lapisan pelindung tersebut.
  • Bayi baru lahir tidak menunjukkan gejala jangkitan yang teruk seperti bayi yang lebih tua umurnya. Bayi yang baru lahir boleh mengalami sepsis sekiranya bakteria masuk ke dalam darah. Sepsis ialah komplikasi jangkitan yang boleh mengancam nyawa. Sepsis berlaku apabila bahan kimia dilepaskan ke dalam aliran darah untuk melawan jangkitan mencetus tindak balas keradangan seluruh badan. Keradangan ini boleh mencetuskan rentetan pelbagai perubahan yang boleh merosakkan sistem organ dan menyebabkan ia gagal berfungsi.

Punca dan Ujian pemeriksaan bayi baru lahir yang mengalami demam

Bayi baru lahir yang mengalami demam mungkin disebabkan oleh jangkitan bakteria atau virus. Walaubagaimanapun, ada juga demam yang timbul bukan disebabkan jangkitan seperti:

  • Demam juga boleh terjadi sebagai reaksi pemberian vaksin atau pakaian bayi yang terlalu tertutup sehingga menjadikan badan mereka panas.
  • Strok haba juga kadang-kadang dikelirukan sebagai demam. Keadaan ini berlaku apabila suhu badan meningkat kepada tahap berbahaya (panas akibat dari overdressing bayi anda, cuaca lembap). Apabila anda keluar bersama bayi anda pada cuaca panas, pakaikan bayi anda dengan pakaian yang longgardan nipis. Jangan pernah meninggalkan dia di dalam kereta, walaupun untuk satu minit.

Bagi menentukan penyebab demam yang dialami oleh bayi, kebiasaannya doktor akan menyarankan untuk melakukan beberapa ujian.

Pemeriksaan yang dilakukan kepada bayi baru lahir yang berusia kurang dari 29 hari meliputi prosedur pemeriksaan seperti pemeriksaan darah lengkap, fungsi lumbar, kultur darah, X-ray dada, air kencing, dan kultur air kencing. Pemeriksaan najis juga mungkin akan dijalankan sekiranya bayi mengalami cirit-birit. Perlu diingatkan bahawa, pemeriksaan yang telah saya nayatakan di atas hanyalah sebagai panduan sahaja. Kemungkinan doktor hanya akan mencadangkan satu atau beberapa prosedur sahaja dan kemungkinan juga semua ujian pemeriksaan bergantung kepada gejala dan keadaan bayi.

Secara kesimpulannya, jangan biarkan perkara di atas berlaku pada si kecil anda. Sentiasa pantau keadaan bayi dengan melihat perubahan suhu badan dan perhatikan gejala – gejala yang di alami oleh bayi anda. Teruskan pemberian susu ibu sehingga sekurang-kurangnya bayi anda berusia 6 bulan kerana susu ibu mengandungi antibodi yang membantu badan bayi anda untuk melawan jangkitan. Rujuklah kepada doktor anda untuk mendapatkan nasihat yang tepat untuk mengatasi keadaan bayi baru lahir yang mengalami demam.

Jangan lupa share jika anda rasa bermanfaat.

(Visited 118 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge