Bronkiolitis: Bukan hanya selesema biasa

Pada minggu lepas, entri saya mengenai Pneumonia pembunuh nombor satu kanak-kanak mendapat sharing yang banyak terutama oleh para ibu bapa. Hari ini entri saya mengenai penyakit yang sering dialami terutamanya oleh bayi kecil iaitu Bronkiolitis. Penyakit ini juga boleh menjadi punca kepada penyakit Pneumonia sekiranya tidak ditangani dengan baik.

Apa itu Bronkiolitis?

Ia adalah jangkitan saluran pernafasan yang menyebabkan terjadinya radang dan tersumbat di dalam bronkiolus atau saluran pernafasan kecil di dalam paru-paru. Keadaan ini umumnya dialami oleh bayi sehingga kanak-kanak berusia dua tahun ke bawah.


Pada awalnya, seorang bayi atau kanak-kanak yang terdedah kepada bronkiolitis akan kelihatan seperti sedang sakit selsema biasa dengan gejala batuk ringan dan hidung berair. Beberapa hari kemudian, gejala akan berkembang dan menyebabkan kanak-kanak akan sering mengalami batuk kering disertai bunyi berdehit dan demam. Selepas itu, dia akan hilang selera makan atau menjadi susah untuk makan.

Kebanyakan kes bronkiolitis masih tergolong dalam kategori penyakit ringan. Gejala penyakit ini biasanya akan reda kurang dari tiga minggu tanpa perlu rawatan. Walaubagaimanapun, ada juga sebahagian kecil kes bronkiolitis yang gejalanya cukup serius. Oleh itu, orang tua tetap perlu mengawasinya.


Bawalah anak anda ke doktor jika mengalami tanda-tanda seperti

  • demamnya masih lagi tinggi,
  • sesak nafas,
  • cerewet,
  • kelihatan sangat lemah dan tidak bermaya,
  • seleranya berkurangan secara drastik.
  • dehidrasi (boleh dilihat dari jumlah air kencingnya yang sedikit).

Jika sesak nafas semakin teruk sehingga menyebabkan kulit menjadi pucat, bibir dan lidah kelihatan biru, dan badan berpeluh, atau ada nada pernafasan yang tersekat-sekat dengan cukup lama, segeralah bawa anak anda ke bahagian kecemasan.

Penyebab Bronkiolitis

Sesetengah virus boleh menyebabkan penyakit bronkiolitis, termasuk virus selesema. Namun jenis virus yang paling kerap menyebabkan jangkitan ini (terutama pada anak-anak yang masih berusia kurang dari dua tahun) adalah respiratory syncytial virus (RSV). Kanak-kanak biasanya dijangkiti virus ketika berada dekat dengan pesakit melalui percikan air liur dari batuk atau bersin pesakit. Selain itu, jangkitan juga boleh berlaku melalui perantara, misalnya mainan. Ketika barang-barang yang sudah tercemar virus dipegang anak-anak dan tangan mereka menyentuh mulut atau hidung, maka kemungkinan besar jangkitan akan merebak.

Berikut adalah beberapa keadaan yang boleh meningkatkan risiko seorang anak terkena bronkiolitis:
  • Mempunyai kekebalan tubuh atau sistem imun yang rendah.
  • Lahir pra-matang.
  • Berusia kurang dari tiga bulan.
  • Tidak pernah menyusu susu ibu. Anak yang menyusu susu ibu mempunyai imuniti yang lebih baik berbanding dengan yang tidak.
  • Tinggal di persekitaran yang padat.
  • Sering bergaul dengan anak-anak lain terutamanya yang diletakkan di taska.
  • Sering terdedah kepada asap rokok.
  • Menghidap penyakit paru-paru atau jantung.

Bagaimana bronkiolitis dikenalpasti?

Bronkiolitis dapat dikesan oleh doktor melalui pengesahan gejala yang dialami oleh kanak-kanak, seperti batuk, selesema, dan demam. Selain itu, akan dilakukan pemeriksaan fizikal dengan melihat keadaan pernafasan kanak-kanak yang boleh didengar oleh doktor dengan menggunakan stetoskop.

Jika doktor tidak yakin dengan penyebab gejala yang berlaku (keadaan asma dan cystic fibrosis juga boleh menyebabkan gejala yang sama dengan bronkiolitis), maka pemeriksaan lebih lanjut boleh dilakukan. Contoh-contoh pemeriksaan lanjutan tersebut adalah pemeriksaan virus melalui sampel lendir air liur, pemeriksaan kadar oksigen dalam darah menggunakan oksimeter, ujian darah, dan ujian air kencing.

Komplikasi Bronkiolitis

Jika penyakit bronkiolitis ini tidak dirawat dengan kadar segara, ia boleh mengakibatkan komplikasi lain yang lebih teruk seperti:

  • dehidrasi
  • sukar bernafas, kulit dan bibir berwarna biru akibat kekurangan oksigen ke dalam badan
  • boleh menyebabkan pneumonia yang boleh membawa maut.
  • Apnea atau nafas berhenti seketika.

KLIK di sini untuk tips bagaimana mencegah bronkiolitis.

(Visited 123 times, 1 visits today)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge